Catatan Popular

Isnin, 24 Disember 2012

SPRM diminta siasat isu tanah balak



KOTA BHARU 22 Dis. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dakwaan bahawa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menawarkan tanah balak seluas 4,259 hektar di Gua Musang kepada dua pemimpin DAP Perak.

Presiden OMBAK, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, siasatan itu perlu dilakukan memandangkan kedua-dua pemimpin DAP tersebut telah mengaku melabur dalam Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang mendapat projek pembalakan itu.

Wan Khairul berkata, keluasan tanah yang diluluskan itu sangat besar dan untuk mendapatkan kelulusan tersebut ia pasti memerlukan persetujuan yang istimewa.

Justeru, katanya, beliau percaya ada 'tangan-tangan' yang telah menyalahgunakan kuasa bagi menjayakan proses meluluskan tanah berkenaan.

"Saya yakin kedua-dua pemimpin dari DAP itu telah mendapat kelulusan yang istimewa daripada kerajaan Pas Kelantan dan sudah pasti Menteri Besar adalah individu yang paling tahu mengenainya.

"Saya tidak nampak sekiranya Nik Aziz tidak tahu dan menafikan perkara tersebut. Kelulusan yang luar biasa itu mesti dilakukan oleh Exco berkaitan dan Nik Aziz sudah tentu tahu mengenainya. Jelas telah berlaku penyalahgunaan kuasa," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mengaku beliau bersama Nga Kor Ming yang juga Setiausaha DAP negeri melabur dalam syarikat itu yang mendapat projek pembalakan di Kelantan.

Baru-baru ini, blog pisau.net mendedahkan dakwaan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut telah diberikan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Nik Abdul Aziz sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Namun, Nik Abdul Aziz seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia kelmarin menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pemimpin DAP itu.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas mendakwa, berita tersebut adalah fitnah daripada Utusan Malaysia dan dia akan mendapatkan khidmat nasihat daripada peguamnya untuk menyaman akhbar ini.

Wan Khairul berkata, kerajaan Pas Kelantan perlu segera memberi penjelasan mengenai perkara tersebut memandangkan kedua-dua pemimpin DAP itu sudah mengaku mengenai perkara itu.

Copy:Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan